Friday, June 17, 2016

Nadi


Fuhh. Bergenang air mata bila teringat balik. 

Umur 5-6 tahun saya pernah berjaga dengan Mak dan ayah jual nasi berlauk pukul 2 pagi masa bulan puasa waktu orang kilang balik kerja. Letak meja ja dalam pagar rumah. Orang kilang turun ja dari bas berderu masuk sampai tak cukup ruang. 

Masa sekolah rendah saya pernah jual tikam 10-20 sen. Buat sendiri kertas tikam tampal pada manila kad. Hadiah tikam kebanyakkannya dari mainan terpakai milik saya dan adik2. Hadiah utama wang RM1. Huhu..

Dalam masa yang sama juga saya buat sendiri asam jawa bergula. Saya gentel asam jawa Mak bulat2 macam guli kemudian gaul dalam gula dan balut dengan plastik. Jual pada kawan.

Setiap kali cuti sekolah saya akan balik tinggal di kampung dengan arwah Maktok dan Makcik. Saya bantu buat semua kerja dalam dan luar rumah dan saya dapat upah. Biasanya sangat lumayan. 

Sepanjang Ramadhan saya akan bantu Mak buat kuih raya. Seingat saya upah paling mahal saya dapat masa umur saya 11 tahun iaitu sebanyak RM100. Untung Mak beribu2 waktu tu. 

Saya dan sepupu juga pernah jual rojak buah dan laksa di Pantai Bersih. Umur 11-12 tahun masa tu. Ramai pelanggan datang beli. Seronok sangat rasa macam main masak2 dan main jual2 pula.

Masuk sekolah menengah dah tak ada aktiviti jualan sebab tinggal di asrama. Tapi ada sekali saya dan Makcik saya yang sama sekolah jual kacang dan asam kering dipek kecil2 50 sen satu. Kami bawa beg plastik besar penuh barang jual dari bilik ke bilik.

Tamat pengajian di Kolej hari Jumaat, hari Isnin saya masuk kerja sebagai Sales Trainee (sales girl) di KL. Tak menganggur. Saya jual barang dari meja ke meja, restoran, kedai, pejabat semua tempat saya masuk. Jumpa semua orang dari orang bawahan yang kerek sampai orang atasan yang sangat cool.  Kerja tak glamor tapi pengalaman tu sangat berharga dan ia telah mengubah jati diri saya. 

Berhenti dari situ saya berkerja di call centre. Walaupun tak ada aktiviti jual beli tapi pengalaman disitu menjadikan saya seorang yang berhemah apabila berdepan dengan masalah. Ia juga banyak membentuk diri saya dan cara saya berkomunikasi dengan orang lain. 

Kemudian saya kerja jual kain dalam shopping kompleks di KL juga. Gaji ada basic dan komisyen. Dalam masa yang sama saya di upah oleh boss untuk susun semula ayat BM kitab Baduizzaman Said Nursi asalnya bahasa Turki yang telah di translate dari BI ke BM. Lumayan juga upahnya. Minat saya dengan penulisan bercambah dari situ. 

Akhir sekali saya berkerja di Kedai sendiri jual Jeruk sampailah sekarang. Saya tak ada ilmu dalam perniagaan. Tapi jiwa raga dan minda saya telah di set sebagai seorang usahawan sejak kecil lagi. Saya ada minat yang berkobar2 dan pengalaman yang teramat bernilai harganya.




No comments:

Post a Comment